Pages

Sunday, July 28, 2013

Pemilihan UMNO Guna Kaedah Seperti Pilihan Raya


PUTRAJAYA, 27 Julai – Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata proses pemilihan baharu UMNO akan mengguna pakai kaedah seperti pilihan raya bagi memilih pucuk pimpinan parti.

“Kita akan buat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita ada jawatankuasa pemilih untuk pusat, jawatankuasa pemilih untuk negeri. Negeri akan jaga untuk bahagian-bahagian. Pusat akan jaga untuk jawatan pusat.

“Semua kertas undi akan disediakan oleh ibu pejabat dan diagihkan. Mereka akan pangkah seperti pilihan raya. Tetapi SPR tidak hadir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Rakan Muda Ramadan Khatam al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mei lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah pelaksanaan pemilihan masih diperincikan sama ada secara angkat tangan, biometrik, dakwat kekal atau kaedah lain.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam Najib mengumumkan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Okt ini.

Perdana menteri turut mengumumkan pemilihan untuk jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 Sept ini, manakala Perhimpunan Agung Umno dari 2 hingga 7 Dis depan.

Tengku Adnan berkata memandangkan kaedah pemilihan itu kali pertama diadakan, kad pengenalan akan diimbas terlebih dahulu di peringkat mesyuarat cawangan bagi memastikan kesahihan mereka sebagai anggota Umno.

“Ini kerana ahli cawangan ini akan dipilih sebagai perwakilan kepada mesyuarat bahagian dan mereka akan memilih pucuk pimpinan parti. Lebih kurang 150,000 orang ini akan pilih kepimpinan. Jadi kita nak pastikan bahawa yang hadir itu sahih ahli Umno,” katanya.

Dalam pada itu Tengku Adnan menganggap pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan sebagai ‘Sirih Pulang ke Gagang’ kerana pernah memegang jawatan yang sama pada 2001.

“Saya akan bekerja keras. Saya tahu barangkali kenapa saya diminta untuk  terajui Wilayah Persekutuan kerana kita nak capai kemenangan yang lebih baik,”katanya.

No comments:

Post a Comment