TARIKH PENTING

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2 HINGGA 7 DIS 2013

SEJARAH PEMUDA


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang wujud ketika ini telah melalui pelbagai proses kematangan dan cabaran sejak mula  ditubuhkan.  Ia telah banyak melahirkan pemimpin-pemimpin Negara yang berkaliber dan disegani, dan sentiasa menekankan soal kepentingan bangsa Melayu sebagai intipati perjuangannya.  Biarpun pergerakan ini dIterajui silih berganti, tetapi asas perjuangannya tetap sama, iaitu sebagai kumpulan pendesak dan pembela terhadap pelbagai isu membabitkan agama, bangsa dan Negara.  Pemuda UMNO sentiasa berperanan selaku sayap kanan kepada badan induk UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan Negara sejak Pilihanraya Umum 1955.
Sejak sebelum mencapai kemerdekaan, pendekatan yang digunakan Pemuda UMNO sentiasa digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan.  Pendekatan yang sentiasa tegas , lantang dan berani adalah imej sebenar Pemuda UMNO.  Setiap isu yang mencabar kepentingan agama, bangsa dan Negara akan diladeni oleh Pemuda UMNO) dengan nadanya yang tersendiri, sehinggakan kadang-kala merunsingkan kepimpinan induk UMNO.  Tetapi itulah cara Pemuda UMNO, yang pantang dicabar dan sanggup melakukan apa sahaja demi maruah agama, bangsa dan tanahair.
Sejarah penubuhan Pemuda UMNO bermula pada 1 dan 2 Mac 1947, apabila Persidangan Agung UMNO di Seremban memutuskan untuk menubuhkan beberapa jabatan baru dalam parti itu, termasuk Jabatan Pemuda.  Jabatan baru ini bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan muda Melayu menyertai UMNO.  Kapten Hussein, anak Yang Dipertua UMNO Dato’ Onn Jaafar, telah dilantik sebagai Ketua Pemuda ketika berusia 26 tahun.
Tiga tahun selepas Jabatan Pemuda dibentuk, peranannya tidak begitu jelas kerana masih wujud organisasi golongan muda yang lain di Tanah Melayu.  Malah ada di antara organisasi muda itu mempertikaikan peranan Jabatan Pemuda.
Pada 26 Ogos 1949, Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah menganjurkan satu persidangan wakil-wakil UMNO dari bahagian-bahagian dengan wakil-wakil pemuda bagi membincangkan hala tuju dan masa depan Jabatan Pemuda.  Persidangan itu berlangsung di Butterworth, Seberang Prai dan dihadiri Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Sebagai Penasihat dan Kapten Hussein sebagai Setiausaha Hal Ehwal Pemuda UMNO serta 25 orang wakil dari 14 bahagian UMNO.
Perbincangan utama adalah untuk memperluaskan fungsi Jabatan Pemuda dengan menubuhkan perikatan antara pemuda-pemuda UMNO dan bahagian-bahagian UMNO di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.  Nama Jabatan Pemuda ditukar kepada Perikatan Pemuda UMNO.  Perikatan ini bukan sahaja menjadi sebuah badan yang tersendiri tetapi turut memiliki undang-undang dan peraturan mesyuaratnya sendiri.
Buat pertama kalinya Pemuda UMNO mempunyai barisan jawatankuasa yang lengkap bagi tempoh 1949-1950, di mana Kapten Hussein dilantik sebagai Ketua Perikatan Pemuda UMNO yang pertama.  Selain itu, wakil ke persidangan Majlis Mesyuarat Agung Pemuda UMNO turut dilantik iaitu Tuan Haji Ahmad bin Abdullah Fahmi dan Encik Shafie Ibrahim.
Setelah ditubuhkan secara rasmi pada 26 Ogos 1949, Perikatan Pemuda UMNO memainkan peranan menjaga kebajikan pemuda berpandukan undang-undang Perikatan Pemuda dan undang-undang Tubuh UMNO.  Peranan Perikatan Pemuda UMNO ketika itu adalah sebagai pelaksana terhadap dasar-dasar yang diputuskan oleh badan induk UMNO berlandaskan slogan “Hidup Melayu” .
Kapten Hussein telah melepaskan jawatan Ketua Perikatan Pemuda UMNO pada Ogos 1950 apabila beliau dilantik Setiausaha Agung UMNO menggantikan Datuk Panglima Bukit Gantang.
Perikatan Pemuda UMNO kemudiannya menerima kehadiran Dato’ Abdul Razak bin Hussain (kemudiannya Tun) selaku ketua secara tidak dirancang.  Ketika hadir sebagai pemerhati dalam Persidangan Perikatan Pemuda pada Ogos 1950 di Kuala Lumpur, para perwakilan telah melantik Tun Razak sekalu Ketua Perikatan Pemuda tanpa ditandingi, walaupun ianya tidak dijangkakan oleh pemimpin kelahiran Pahang ini.  Tun Razak menerima jawatan itu, biarpun beliau lebih banyak menjurus tenaga kepemimpinannya terhadap UMNO keseluruhannya.
Pada tahun 1951, Tun Razak dan Tun Sardon jubir membuat satu persefahaman yang agak unik dalam sejarah UMNO.  Mereka bersetuju untuk bertukar jawatan masing-masing, dengan Tun Razak mengambil alih jawatan Timbalan Presiden – orang kedua pentingnya di dalam UMNO selepas Dato’ Onn, dan Tun Sardon menjadi Ketua Perikatan Pemuda.  Dari situ, ber4mulalah era baru dalam sejarah kepemimpinan Pemuda, dari sebuah pergerakan yang dilihat agak pasif, kepada satu gerakan pendesak yang digeruni oleh pihak lawan, termasuk daripada penjajah Inggeris.
Perikatan Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Tun Sardon selaku ketua, dan Datuk Ahmad Badawi selaku naib ketua telah melakarkan satu sejarah Pemuda yang cukup berwibawa, tegas dan drastic.  Dalam menghadapi era pra-merdeka, Tun Sardon berjaya mencorakkan Perikatan Pemuda UMNO sebagai satu kumpulan pendesak (pressure group) yang tidak pernah dimimpikan oleh sesiapa sebelumnya.
Perikatan Pemuda UMNO telah banyak memainkan peranan mempercepatkan proses kemerdekaan Negara, satu perkara yang dianggap oleh Inggeris sebagai benar-benar  mengancam kedudukan mereka.  Selain itu, Tun sardon telah dapat memulihkan semula maruah orang Melayu yang telah dijajah selama 446 tahun, dengan beberapa tindakan tegas yang mencabar keangkuhan Inggeris, khususnya menjelang kemerdekaan.
Pada 1951, Perikatan Pemuda UMNO mencadangkan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukarkan kepada “Merdeka” .  Bagi Pemuda, apa gunanya Melayu terus hidup sedangkan diri dijajah. Biarpun slogan “Hidup Melayu” telah dapat membangkitkan semangat orang Melayu untuk menentang Malayan Union dan membawa kepada penubuhan UMNO pada 1946, tetapi slogan itu perlu ditukar kepada satu perjuangan yang lebih jelas, iaitu menuntut kemerdekaan hakiki daripada Inggeris.
Dato” Onn pada mulanya membantah cadangan Pemuda UMNO ini.  Baginya , slogan “Hidup Melayu” telah berakar umbi dalam jiwa orang Melayu selama lebih lima tahun, dan slogan itulah yang telah dapat menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu daripada perpecahan sejak beratus-ratus tahun sebelum penubuhan UMNO.
Selain, itu, Dato’ Onn berpendapat, slogan “Merdeka” pernah dilaungkan oleh PKMM pimpinan Ibrahim Yaakub, satu pertubuhan yang telah diharamkan oleh Inggeris dan pernah bermusuhan dengan UMNO.
Tun Sardon pula berpendapat, tindakan Pemuda hendak menukar slogan kepada “Merdeka” tidak akan mengubah pendirian orang Melayu untuk terus hidup bersatu padu.  Malah menurutnya, Melayu akan terus hidup di bumi Melayu berdasarkan pesanan Hang Tuah,“tak kan Melayu hilang di dunia”.
Akhirnya, dalam Perhimpunan UMNO pada 1951 telah diputuskan supaya slogan “Hidup Melayu” ditukar kepada “Merdeka”, sekali gus mengiktiraf perjuangan Pemuda UMNO dalam merealisasikan sebuah Negara merdeka.  Sejak dari itu, slogan “Merdeka” meniti di bibir orang Melayu, dan semakin merunsingkan pihak Inggeris..  Tetapi slogan tanpa tindakan tidak akan dapat membawa  orang Melayu ke mana-mana, dan slogan itulah yang menjadi pemangkin kepada UMNO untuk lebih serius menuntut kemerdekaan.
Inggeris merasakan Perikatan Pemuda menjadi ancaman terhadap kepentingan mereka sehingga mengugut untuk mengharamkan perikatan itu.  Tetapi Tun Sardon mencabar Inggeris berbuat demikian, dan ketegasan Pemuda itu turut mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menggantikan Dato’ Onn selaku Yang Dipertua UMNO pada 1951.
Bagi memperkukuhkan lagi gerakan Pemuda sebagai kumpulan pendesak untuk mendapat kemerkdekaan, nama Perikatan Pemuda UMNO telah ditukar kepada Pergerakan Pemuda UMNO pada 1955.  Nama tersebut ditambah dengan perkataanMalaysiapada 1963 apabilaMalaysiadibentuk dan kekal hingga ke hari ini.
Akibat desakan yang bertali arus dari Pergerakan Pemuda UMNO dan semangat kebangsaan yang ditunjukkan oleh orang Melayu di seluruh tanahair, akhirnya Inggeris bersedia memberikan kemerdekaan, tetapi tarikhnya menjadi tandatanya di kalangan orang Melayu.  Tunku Abdul Rahman sentiasa bertolak ansur kepadapihak Inggeris dalam menentukan tarikh kemerdekaan, tatapi Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Tun Sardon telah sekali lagi memainkan peranan sebagai “pressure group” dengan mendesak supaya tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957.  Persidangan Agung UMNO pada 26 dan 27 Disember 1955 telah meluluskan cadangan yang dibentangkan oleh Tun Sardon dan Inggeris akhirnya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan Pemuda UMNO itu.
Malahan beberapa hari sebelum kemerdekaan dicapai, Pemuda UMNO mendesak supaya bendera Union Jack diturunkan pada detik 31 Ogos 1957 untuk digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbol kemerdekaan tanahair.  Desakan Pemuda UMNO ini mulanya mendapat bantahan dari Pesuruhjaya Tinggi British dengan alasan tindakan itu boleh menjatuhkan maruah Inggeris.
Bagaimanapun Pemuda UMNO berpendapat maruah orang Melayu yang telah dijajah sejak sekian lama adalah lebih penting dan satu simbol pembebasan dan pemulihannya perlu dilakukan.  Pada detik 31 Ogos 1957, berlakulah satu lagi peristiwa bersejarah di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan sebagai simbol kemerdekaan dan pembebasan tanahair daripada belenggu penjajahan Inggeris.  Sekali lagi, imej Pemuda UMNO dalam melakarkan sejarah penting Negara tercatat.
Perjuangan Pemuda UMNO tidak habis setakat mencapai kemerdekaan semata.  Ketika Negara terus dilanda darurat akibat keengganan komunis mengiktiraf kemerdekaan, Pemuda UMNO memainkan peranan menyakinkan rakyat terhadap konsep sebuah Negara merdeka.  Akhirnya darurat ditamatkan pada 1960.
Tetapi Pemuda UMNO sekali lagi berhadapan dengan cabaran apabilaIndonesiamelancarkan konfrantasi terhadapMalaysia, apabila Negara jiran itu tidak bersetuju dengan pembentukanMalaysiapada 1963.  Pemuda UMNO sentiasa memperrtahankan pembentukanMalaysiamelalui keputusan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Cobbold.  Sehingga di satu peringkat, apabila Indonesia terus berkeras, Tun Sardon telah mencabar Aidit, pemimpin Indonesia yang celupar ketika itu, untuk bertumbuk dengannya.  Walaupun tindakan itu dilihat kenanak-anakan, tetapi itulah antara symbol betapa Pemuda UMNO sanggup melakukan aoa sahaja demi memperrtahankan maruah dan kedaulatan Negara.
Tun Sardon dan Datuk Ahmad memimpin Pemuda UMNO selama 14 tahun.  Ketika itu terlalu ramai pemimpin pergerakan berkenaan berusia lebih 40 tahun.  Satu pindaan dilakukan terhadap Pergerakan Pemuda UMNO apabila umur bagi meminpin pergerakan itu dihadkan kepada 40 tahun, kecuali jawatan Ketua Pemuda.
Pada 1964, buat pertama kalinya dalam sejarah, jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan Tun Sardon ditentang oleh sahabat karibnya.  Datuk Senu Abdul Rahman.  Tun Sardon tewas dan berakhirlah satu era lagenda dalam kepimpinan Pemuda UMNO.  Era Tun Sardon bolehlah dianggap sebagai satu asas pembentukan perjuangan dan imej Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dan sememangnya masih menular dalam pergerakan tersebut hingga hari ini.

 
TAN SRI SENU ABDUL RAHMAN 
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KE EMPAT (1964-1971)
(1970-1971 – Dipangku Oleh Datuk Hj Ahmad, Naib Ketua Pemuda)

“PEMUDA HARAPAN BANGSA”
SENU yang mengambil alih kepimpinan Pemuda pada peringkat awalnya hanya meneruskan dasar-dasar Sardon.  Bagaimanapun cabaran pertama Senu bermula apabila Lee Kuan Yew mengusulkan pemindahan Singapura daripadaMalaysia.
Kenyataan Lee Kuan Yew tentang status pribumi telah menyentuh perasaan orang Melayu.  Pada 14 Mei 1965. Pemuda meluluskan satu resolusi yang mendesak Kerajaan Pusat agar mengambil tindakan terhadap Kuan Yew.  Bagaimanapun, mereka terpaksa akur apabila akhirnya Tunku telah mengisytiharkan Tunku telah mengisytiharkan pemisahan Singapura dengan Malaysia pada Ogos 1969 satelah gagal diselesaikan di meja rundingan.
Isu Singapura tidak melemahkan semangat Senu, malah beberapa kejayaan dicapai seperti penubuhan pasukan Pemuda Tahan Lasak, iaitu pasukan yang bertanggungjawab memastikan kemenangan calon-calon Perikatan dan UMNO dalam pilihanraya umum pada tahun 1969.  Dalam bidang ekonomi pula, beliau telah menubuhkan Talasco Bhd. Yang menjadi landasan kepada ahli-ahli pemuda menceburkin diri dalam dunia perniagaan pada waktu itu.
Rancangan Revolusi Mental yang dilaksanakan  oleh Senu telah dibukukan oleh Datuk Ali Hj Ahmad, Hj Hamzah Alang dan Hj Ahmad Badawi pada tahun 1970.  Buku ini disifatkan sebagai langkah Pemuda dalam menyedarkan orang Melayu mengenai masa depan mereka dalam sebuah Negara yang baru mendeka.  Peristiwa 13 Mei 1969 telah membantutkan aktiviti Pemuda sehingga akhir tahun 1970.  Senu yang tewas dalam pilihanraya 1969 telah dilantik oleh pucuk pimpinan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Ali Hj Ahmad yang memangku jawatan Ketua Pemuda sehingga pemilihan berikutnya.
 
DATUK HARUN IDRIS
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KELIMA (1971 -1976)
“PEMUDA PELOPOR PEMBANGUNAN”
Dalam Perhimpunan Agung Pemuda pada 21 dan 22 Januari 1971 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka.  Harun  Idris telah diisytiharkan sebagai Ketua Pemuda UMNO yang kelima.
Semasa pentadbirannya, Harun telah menukar slogan Pemuda  kepada Pemuda Pelopor Pembangunan.  Zaman Harun memperlihatkan Pemuda sebagai kumpulan pendesak.  Antaranya, Harun mendesaki Kerajaan Pusat  dan Negeri agar setiap rancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan terlebih dahulu dirujuk kepada APemuda.  Manakala di peringkat parti pula, Harun telah membentuk Dewan Ketua dan Sistem Biro.
Selain itu, Harun juga telah berjaya membawa masuk semula Dr. Mahathir Mohamad yang dipecat dari parti selepas krisis 13 Mei 1969.  Pemuda kemudiannya berani mengkritik dan menegur kepimpinan parti sesuai dengan tuntutan dan kehendak semasa ketika itu.  Namun begitu di sebalik kelantangan Harun, beliau turut menjelajah ke seluruh Negara untuk menjelaskan dasar-dasar pembangunan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak.  Sepanjang tahun 1971-1972, Pemuda memfokuskan perhatian kepada penglibatan orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Selain itu, Pemuda juga tidak berdiam diri dalam soal pemilikan ekuiti Malayu dalam syarikat-syarikat asing.  Desakan Pemuda agar wujudnya keseimbangan pekerja antara kaum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, MAS dan SIRIM telah membuka mata kerajaan selepas itu.  Malangnya Harun dipecat dari parti pada tahun 1976 kerana enggan meletakkan jawatan dalam UMNO, kerajaan dan Barisan Nasional atas beberapa tuduhan rasuah yang dilemparkan kepadanya.
TAN SRI SYED JAAFAR ALBAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KEENAM
(JULAI 1976 – JANUARI 1977)
(Meninggal Ketika Masih Berkhidmat)

“PEMUDA KUMPULAN HALIA”

Pada Julai 1976, Syed Jaafar telah menewaskan Mohamed Rahmat dengan undi yang besar.   Dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung UMNO selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda, Syed Jaafar mengisytiharkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menjadi Kumpulan Halia dan meletakkan dirinya sebagai “bapa” kepada pergerakan itu.  Tugas  utama beliau banyak tertumpu kepada usaha memperbaiki keretakan dan kekalutan dalam Pergerakan Pemuda terutama tuntutan daripada ahli-ahli agar membawa masuk Harun yang telah dipecat dari jawatannya.  Namun begitu, keperibadian yang tegas serta cemerlang dalam UMNO amat disenangi oleh Pemuda dan dihromati oleh pucuk pimpinan parti.
Walaupun kepimpinan Syed Jaafar Albar terlalu singkat tetapi dalam tempoh itu beliau sempat meneruskan tradisi Pemuda UMNO yang mengadakan dialog dan pertemuan dengan pucuk pimpinan UMNO Pusat, Pemuda Peringkat Negeri, bahagian dan cawangan.  Tetapi kejayaan terbesarnya ialah pembongkaran hubungan rapat beberapa pemimpin UMNO dan kerajaan dengan fahaman komunis .  Pada 14 Januari 1977, selepas menyampaikan ucapannya dalam majlis politik di Muar, Johor, Syer Jaafar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Semangat juangnya untuk mendapatkan semula kepercayaan Pemuda selepas bergolak dengan krisis  kepimpinan telah meletakkan namanya di dada dan jiwa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia buat selama-lamanya.

DATO’ SUHAIMI KAMARUDDIN
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KETUJUH
(1977 – 1978 Memangku) 1981 – 1982 (Dipilih)
“PEMUDA ERA BERTINDAK”
Datuk Suhaimi Datuk Kamaruddin mula memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Januari 1977.  Dalam tempoh beliau memangku, Pemuda sering memerhati dan mempersoalkan beberapa isu dalam perlaksanaan DEB.  Era memangku ini juga digunakan oleh beliau untuk menentang pembentukan Universiti Merdeka.
Pada tahun 1978, Suhaimi akhirnya dinobatkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda.  Sebaik sahaja menerajui Pemuda, beliau terus menukar slogan Pemuda kepada Pemuda Era Bertindak.  Seminar DEB yang diadakan selama dua hari pada 17 dan 18 mei 1980 di kuala Lumpur telah meluluskan 66 peratus resolusi sebagai panduan kepada Pemuda untuk bertindak memangkinkan penguasaan ekonomi orang Melayu.  Selain itu, Pemuda juga turut mengadakan seminar mengenai dasar belia kebangsaan.  Penghijrahan pendatang tanpa izinVietnamkeMalaysiaturut mendapat perhatian Pemuda.
Pada era ini juga,  Suhaimi telah dilantik oleh kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan kemudiannya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri .  Corak pentadbiran Suhaimi lebih bersifat low profile dan rasional.  Begitupun Pemuda tetap lantang dalam soal ekonomi sehingga mengesyorkan penubuhan one stop agency untuk maklumat peniaga-peniaga Bumiputera dan beliau agak lantang dalam isu pembelian saham UMBC dan isu penjualan Dunlop Estate kepada syarikat bukan Melayu.
Dalam pemilihan 1980, Haruncubakembali ke arenba Pemuda tetapi percubaannya gagal dan beliau tewas di tangan anak saudaranya sendiri dan juga bekas peguambelanya.  Bagaimanapun dalam pemilihan tahun 1982, Suhaimi gagal mempertahankan jawatannya.  Beliau tewas kepada rakan seperjuangannya dalam ABIM dahulu, Anwar Ibrahim.

Pemuda UMNO Era Wawasan
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KELAPAN
1982-APRIL 1987
“PEMUDA PENGGERAK ZAMAN”
Pertandingan pada bulan September 1982 menyaksikan kemenangan tipis Anwar dengan kelebihan 10 undi sahaja.  Dalam ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung Pemuda pada 18 Ogos 1983, beliau menegaskan bahawa kekuatan Pemuda diukur melalui kebijaksanaan bertindak, melaksanakan dengan berkesan.  Beliau menyeru agar Pemuda mengambil peluang ke atas suasana politik yang liberal dan terbuka seta kebebasan bersuara untuk meninggikan moral rakyat, menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Negara serta kehidupan rakyat, memerangi gejala rasuah, menegak keadilan sosial serta memperjuangkan isu kemiskinan.
Beliau mewujudkan Biro Khas Kemiskinan pada bulan Julai 1983 dan selepas itu juga terbentuklah Yayasan Gerakbakti Kebangsaan (YGK).  Di bawah kepimpinan Anwar juga, Pemuda telah mewujudkan Biro Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa.
Pada tahun 1984, bekas Ketua Pemuda, Suhaimi Kamaruddin pula mencabar Anwar tetapi Anwar memperolehi kemenangan besar iaitu dengan kelebihan 89 undi.  Satu lagi kejayaan besar ialah pembentukan sebuah Jawatankuasa Tertinggi Pemuda Barisan Nasional.  Dalam kekalutan untuk menghadapi pilihanraya pada 1986, Musa Hitam telah meletakkan jawatannya dalam kabinet dan kini, beliau dicabar oleh Syed Hamid Albar.  Walau bagaimanapun Anwar menang dengan kelebihan 194 undi.
Pada pemilihan 1987 juga, Anwar membuat keputusan untuk meninggalkan Pemuda dan bertanding kerusi Naib Presiden UMNO.  Beliau  berjaya dalam merebut kerusi Naib Presiden.
Walaubagaimanapun, selepas menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO, pada 5 September 1998 Anwar dipecat dari jawatan dan ahli UMNO.

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KESEMBILAN
April 1987 – Mei 1988 (Memangku)
Mei 1988 – 1990 (Dilantik)
1990 – 1993 (Dipilih)
“PEMUDA BERAKAR TEGUH BERAKAL CANGGIH”
Datuk Seri Najib Tun Razak melalui tiga peringkat kepimpinan yang berbeza dalam Pemuda.   Selama setahun beliau memangku jawatan Ketua Pemuda .  Selepas UMNO diharamkan dan kemudiannya dipulihkan semula, jawatannya itu dilantik oleh Majlis Tertinggi UMNO (baru). Beliau memegang jawatan yang dilantik itu selama dua tahun.  Pada tahun 1990, apabila semua jawatan dipertandingkan semula, barulah Najib dipilih oleh para perwakilan ke Perhimpunan Agung Pemuda .
Sebaik sahaja dilantik sebagai ketua, Najib terus mengumumkan tiga program utamanya.  Pertama, menyusun semula jentera Pemuda di setiap peringkat.  Kedua, menggerakkan jentera Pemuda untuk menguatkan semula UMNO setelah diharamkan dan ketiga memperbanyakkan kursus dan meneruskan program yang rancang.  Seperti Anwar, beliau juga memperluaskan konsep internasional iaitu  memperkenalkan Dialog Malindo.
Ujian paling getir bagi Najib berlaku pada tahun 1987 apabila timbul isu perkauman dan soal pribumi.  Buat pertama kalinya Pemuda di bawah Najib meneruskan agenda pengisian ilmu dengan mengadakan pelbagai kursus bina diri dan beliau memperkenalkan “Wira Waja” dengan kerjasama  Biro Tatanegara (BTN).
Slogan Pemuda Berakar Teguh Berakal Canggih diperkenalkan oleh Najib di Perhimpunan Agung Pemuda 7 November 1992 di Dewan Tun Dr. Ismail.  Menurutnya, ciriakar yang teguh bagi Pemuda ialah mempunyai semangat dan kesedaran bangsa yang tinggi dan yang kedua ialah akar yang teguh dari sudut agama.  Pada 11 Julai 1993, Najib mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Pergerakan Pemuda UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

TAN SRI RAHIM THAMBY CHIK
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KESEPULUH
1993 – 1994
1994-1995 (Dipangku Sementara Oleh Datuk Nazri Tan Sri Aziz)
1995-1996 (Menyambung Tugas Semula)

“PEMUDA ERA MOTIVATOR & PERGGERAK WAWASAN”
Pengumuman Najib untuk bertanding jawatan Naib Presiden menyebabkan Pemuda sekali lagi terpaksa mencari penggantinya.  Pada 13 Julai 1993, Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengumumkan kesediaannya untuk dicalonkan sebagai Ketua Pemuda.  Pemilihan 1993 menyaksikan pertandingan tiga penjuru.  Pada 3 November 1993, 264 perwakilan telah memberi sokongan kepada Rahim untuk memenangi kerusi Ketua Pemuda UMNO.
Sebaik sahaja menang, Rahim membawa wawasan baru dalam pergerakan itu dengan memperkenalkan apa yang dipanggilnya sebagai Pemuda Era Motivator.  Rahim menekankan tiga perkara di dalam kepimpinannya iaitu memperkukuhkan  Negara dan menjalinkan hubungan di peringkat anatarabangsa.  Seperti Anwar dan Najib, Rahim juga meneruskan agenda antarabangsa dengan mengadakan Dialog Pemuda UMNO – Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia di PulauPinang.  Melihat kepada wawasan Rahim, jelas sekali beliau bercita-cita untuk membawa Pemuda UMNO menjadi gandingan kepimpinan yang berkesan bagi membantu Presiden parti merealisasikan kecemerlangan bangsa Melayu dalam menuju Wawasan 2020.  Malangnya, Rahim terpakas mengundurkan diri ekoran isu peribadi dan dakwaan yang dihadapinya.  Jawatannya itu dipangku sementara oleh Nazri.  Selepas tuduhan keatasnya ditarik balik, Nazri membuat tawaran terbuka kepada Rahim untuk kembali memimpin Pemuda.
Setelah tawaran itu dirujuk kepada Majlis Tertinggi UMNO, maka mesyuarat majlis itu pada 16 Januari 1996 memutuskan untuk menyerahkan semua jawatan Ketua Pemuda kepada Rahim.

DATUK AHMAD ZAHID HAMIDI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO YANG KESEBELAS
(1996 – 1998)
“PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI”
Pada Oktober 1996, Zahid muncul sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ke 11.  Kemenangan Zahid dilihat oleh para pemerhati politik sebagai keputusan Pemuda untuk menyerahkan kembali jawatan Ketua kepada pemimpin dari Kilang Pemuda.
Sebulan selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda, Zahid telah mengumumkan motto baru Pemuda UMNO pimpinannya – Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi.  Zahid melihat bahawa untuk menjadi pemangkin atau aen perubahan, Pemuda terlebih dahulu mestilah mengisi jiwa mereka dengan bekalan ilmu dan semangat bekerja yang kuat.
Zahid dan anggota-anggota exconya telah melaksanakan lebih 90 program besar dan kecil.  Setiap anggota exconya diberi portfolio yang tersendiri untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada ahli.  Pemuda mempunyai 22 Majlis yang merangkumi pelbagai sektor dan bidang.
Antara cabaran penting dalam kepemimpinan Zahid ialah tindakan bantahan terhadap Persidangan Asia Pasifik Mengenai Timur Timor (Apcet II) di Kuala Lumpur, menangani penghinaan Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew terhadap Negeri Johor yang kononnya dipenuhi kejadian tembak menembak, samun dan curi kereta, dan akhir sekali isu pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.
Sejarah Zahid sebagai ketua berakhir pada 1 Okltober 1998 apabila beliau meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO

No comments:

Post a Comment