Pages

Tuesday, September 24, 2013

Agenda Pemulihan UMNO Secara Total


Kalau lupa elok juga ahli-ahli UMNO yang akan bertanding pada Pemilihan UMNO dari peringkat cawangan hingga ke Majlis Tertinggi (MT) mengingati dan bermuhasabah bagi mengenang keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan PRU-13 baru-baru ini.

Apa yang perlu difikirkan oleh pemimpin-pemimpin yang terlibat, adakah mereka sekadar mahu ahli UMNO memilih dan bukannya memulihkan UMNO yang begitu terkesan akibat kehilangan majoriti dua pertiga dalam kedua-dua PRU.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti, Oktober ini. Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di semua peringkat.

Namun soalnya sejauh mana pemimpin-pemimpin UMNO di akar umbi dapat menyelami suara hati ahli-ahli mereka sama ada masih mahukan mereka kekal di tampuk bahagian atau mahukan muka baru yang lebih berkarisma untuk bakal menjadi pemimpin pelapis.

Ahli-ahli sememangnya sayang kepada pemimpin mereka kesan sentuhan kepimpinan yang penuh kasih sayang selama seseorang ketua bahagian mahupun ahli jawatankuasa bahagian lain berkhidmat.

Soalnya, bagaimana pemimpin menilai sokongan akar umbi jika tiap kali pemimpin bertemu ahlinya hanya pujian dan mengenang jasa sahaja yang didengar. Sebaik-baiknya pemimpin bukan sahaja mengukur baju di badan sendiri malah ukurlah sekali baju di badan lawan mereka.

Dalam keadaan UMNO dalam proses memperkasakan parti dan bangsa Melayu itu sendiri, UMNO perlu berubah untuk memastikan agenda pemulihan semakin dirangsang dengan hadirnya tenaga muda dan berjiwa milenium dalam kepimpinan peringkat akar umbi dan MT.

Kita perlu sedar UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu yang paling berkesan dan pemilihan BN mengemudi negara ini sebanyak 13 kali berturut-turut adalah satu rekod dunia yang tidak dapat dipadamkan.

Kehilangan majoriti dua pertiga dua kali berturut-turut menunjukkan ada sesuatu yang perlu berubah dalam struktur parti di semua peringkat. Walau ada yang menganggap perubahan pada masa kalah ini tidak perlu, apa salahnya dilakukan sesuatu yang baru demi memulihkan UMNO sebagai peneraju BN yang sempurna dan kembali memperolehi dua pertiga majoriti.

Pada pemilihan parti kali ini perlu ada perubahan dalam organisasi bernama UMNO ini. Pemilihan Oktober ini adalah medan memilih pemimpin yang setia hidup mati bersama parti dan mempunyai idea yang bernas untuk bangsa, dan tidak lari daripada prinsip perjuangan parti selama 67 tahun ia ditubuhkan.

Sebaik-baiknya pemimpin-pemimpin yang sudah tidak mendapat kepercayaan akar umbi tidak memperjudikan harapan ahli-ahli yang mahu terus berkhidmat demi agama, bangsa dan negara sebagai pelapis kepimpinan.

PRU-12 dan PRU-13 sudah berlalu namun perjuangan UMNO memperkuatkan BN masih belum tamat. Rakan komponen MCA seolah-olah menjauh diri bahana keputusan dua PRU yang amat di luar dugaan.

Kita tidak mahu orang muda dan profesional menjauhkan diri dari UMNO hanya kerana UMNO gagal memulihkan kepercayaan rakyat dan ahli kepada parti keramat tersebut.

Kepada semua ahli UMNO yang layak mengundi memilih calon dari bahagian hingga ke MT, di tangan anda ada keputusan PRU-14 dan di tangan anda bakal ada keharuman salaman tahniah pemimpin yang muda dan banyak idea untuk terus memajukan dan memperkasa ekonomi Melayu.

Ayuh ahli UMNO, pemilihan UMNO kali ini adalah agenda pemulihan. Jangan sampai terus demam 2008 dan 2013 tidak kebah-kebah.--UM

No comments:

Post a Comment