TARIKH PENTING

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2 HINGGA 7 DIS 2013

Thursday, September 19, 2013

Idris Haron umum pertahan jawatan MT UMNO


MELAKA 18 Sept. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron hari ini menawarkan diri mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Oktober ini.

Idris berkata, keputusan itu diambil setelah membuat pertimbangan wajar daripada pelbagai sudut serta mendapat nasihat daripada rakan-rakan serta tokoh politik lain.

Menurutnya, beliau menawarkan diri kerana ingin menyumbang bakti dalam usaha untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO, Islam dan orang Melayu yang semakin getir selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Setelah memberi pertimbangan daripada setiap aspek, saya kira elok saya meneruskan khidmat sebagai (ahli) MT untuk penggal 2013-2016.

"Misi utama saya ialah meneruskan kesinambungan untuk membawa apa yang telah kita perjuangkan selama ini untuk meletakkan Melayu dan Islam sebagai peneraju di negara dalam kita diterima rakan yang lain.

"Saya menyerahkan sepenuhnya kedudukan saya kepada 146,500 perwakilan untuk membuat pertimbangan wajar dengan hasrat saya menawarkan diri bertanding jawatan MT penggal ini," katanya.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan Idris adalah satu-satunya calon dari Melaka yang menawarkan diri bertanding MT setakat ini.

Mengulas lanjut Idris berkata, berdasarkan pengalaman sebagai ahli MT pada penggal lalu, beliau yakin untuk melaksanakan tanggungjawab memperkasakan UMNO dan orang Melayu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menjelaskan kelewatannya membuat pengumuman tersebut kerana memerlukan masa untuk berfikir.

"Ini bukan jawatan kecil dan ringan sebaliknya merupakan tanggungjawab besar apabila saya menawarkan diri, saya tahu amanah yang akan saya laksanakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment