SUBANG - Kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengendalikan penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 dengan lancar mendapat kecaman Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menganggap badan bola sepak itu masih pada zaman dinosaur.
"FAM masih di zaman 'jurassic'..apa ini?. Sepatutnya mereka perlu memastikan ada pembaharuan dalam penjualan tiket bola sepak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara Kali Ke-37 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di sini semalam.
Masalah kaedah penjualan, ulat tiket dan tiket palsu terus gagal diselesaikan oleh FAM.
Pada final Piala Malaysia antara Kelantan dengan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad lalu pula menyaksikan lebih 1,000 penyokong yang memiliki tiket sah tidak dapat masuk untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Menurut Khairy, sebelum ini beliau telah memberikan cadangan bahawa perlu ada sistem baharu dalam penjualan tiket terutama melibatkan perlawanan akhir dalam saingan Liga Malaysia.
"Sekarang ini kita sudah berada di abad ke-21, sudah boleh melaksanakan sistem penjualan secara talian atau apa sahaja jenis sistem lain yang berbeza berbanding sistem yang diguna pakai sekarang.
"Bagaimanapun setiap tahun ada sahaja masalah yang sama tentang penjualan tiket, memang perkara ini di bawah FAM, tetapi sebagai Menteri saya hendak memberikan sedikit teguran kepada mereka kerana keluhan ini datang daripada penonton dan peminat bola sepak," katanya yang juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM dari 2007 hingga 2010.
Khairy yang sebelum ini pernah menempelak FAM di atas kelemahan mereka, termasuk insiden limpahan penonton pada separuh akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (DT) dan Pahang, Mei lalu berkata, sampai bila penonton harus berbaris panjang untuk mendapatkan tiket perlawanan.
"Kita berada di zaman teknologi sekarang, sepatutnya FAM menggunakan tindakan yang lebih tegas bagi membanteras ulat tiket yang berada di luar stadium.
"Kalau mereka tidak boleh menyelesaikan masalah ini beritahu, bukannya beri kepada 'orang yang sama' yang tidak mahu membuat sebarang pembaharuan.
"Jika mereka beritahu, kita boleh cadangkan supaya ada prosedur baharu dalam sistem penjualan tiket," katanya lagi.
Sebelum perlawanan akhir Ahad lalu FAM telah berjanji untuk memberi tahap pengawalan keselamatan terbaik, termasuk menggunakan lebih kurang 2,500 anggota keselamatan termasuk polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Bagaimanapun, mereka dilihat gagal memberi kawalan keselamatan terbaik sehingga zon penampan yang memisahkan antara kedua-dua penyokong di stadium tersebut perlu dibuka dan ia mungkin disebabkan kebanjiran penonton yang melebihi jumlah tiket yang dijual.
Dalam pada masa yang sama terdapat juga penjualan tiket palsu menjelang perlawanan sehingga ada antara penonton berasa tertipu tatkala mereka perlu meredah perjalanan beratus kilometer untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.
No comments:
Post a Comment