TARIKH PENTING

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2 HINGGA 7 DIS 2013

Wednesday, August 28, 2013

Tugu Negara Di Serang Komunis


Tugu Peringatan Negara (atau juga dikenali sebagai Tugu Negara) telah disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggungjawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat. Tugu ini juga adalah arca berkumpulan yang tertinggi di dunia.


Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.

Kompleks Tugu Negara yang ada kini di kawasan Taman Tasik Perdana dibuka pada 8 Februari 1966. Ia memasukkan Taman Peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira yang mengorbankan jiwa mereka bagi menjaga keamanan negara Malaysia. Tiang asal dialih ke Kompleks Tugu Negara kini dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960).

Oleh kerana bencikan kerajaan, ingin melumpuhkan agenda mewujudkan keamanan dan cintakan negara di kalangan rakyat, pengganas komunis bertindak mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Akibatnya sebuah patuh rebah ke tanah manakala dua lagi kepala patung terpancung. Kerosakan yang dialami tugu tidak berapa teruk kerana hanya 1 daripada 3 bom yang diletakkan pengganas meletup. Letupan di monumen ini menyebabkan Tugu Negara terpaksa ditutup sehingga 11 Mei 1977.




No comments:

Post a Comment