TARIKH PENTING

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2 HINGGA 7 DIS 2013

Friday, November 8, 2013

Antara Setia dan Taksub ahli Pas


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mendedahkan satu lagi ‘kelebihan’ yang ada kepada Pas dan tidak mungkin ada kepada parti-parti politik lain termasuk UMNO.

‘Kelebihan’ tersebut ialah kesetiaan dan ketaksuban penyokong-penyokong Pas terhadap parti itu sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja atas nama perjuangan Islam yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Sepanjang hampir dua minggu berada di Sungai Limau, penulis berkesempatan melihat dengan lebih dekat gelagat penyokong-penyokong Pas. Mereka bukan sahaja terdiri daripada penyokong tempatan tetapi ada antara yang sanggup datang dari seluruh pelosok tanah air semata-mata untuk memberikan sokongan kepada calon parti itu. Mereka sanggup bermalam di dalam kereta, masjid dan surau semata-mata untuk berkempen.

Sememangnya, mahu tidak mahu kita harus ‘tabik’ kepada kesetiaan dan ketaksuban mereka ini. Sudah pastilah ia adalah hasil didikan politik yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu sehingga penyokong mereka menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jihad demi menegakkan perjuangan Islam.

‘Perjuangan Islam’ - itulah perkataan yang memungkinkan Pas mampu meraih sokongan daripada golongan muda. Apatah lagi ia dibantu pula oleh tok-tok guru dan ustaz-ustaz yang bersedia mengukuhkan hujah Pas itu.

Lanjutan itu, penyokong-penyokong Pas hanya berpegang kepada kata-kata ulama, tok guru dan ustaz yang menyebelahi parti tersebut, selain daripada itu hatta kata-kata mufti sekali pun mereka akan menganggap itu ‘suara UMNO’.

Situasi ini jugalah menyebabkan penyokong Pas sentiasa melihat apa juga yang dilakukan oleh Pas adalah betul dan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak betul dan tidak Islamik.

Malah, penyokong-penyokong Pas juga seolah-olah sudah didoktrin bahawa BN penuh dengan amalan rasuah, pemimpin UMNO menolak Islam dan apa yang Pas lakukan adalah satu jihad.

Justeru penulis sama sekali tidak terkejut apabila mendengar penyokong-penyokong Pas yang terdiri daripada peraih undi ketika hari mengundi di Sungai Limau Isnin lalu, begitu mudah melaung-laungkan kata-kata memaki hamun dan memfitnah pemimpin-pemimpin BN. Peraih undi BN yang berada di hadapan mereka juga menjadi sasaran maki hamun.

Soalnya, adakah ini yang diajar dalam Islam? Mereka berserban, berkopiah, bertudung labuh dan berjubah serta begitu bangga mengibarkan bendera Pas yang dianggap memperjuangkan Islam tetapi apa yang merela lakukan tidak mencerminkan sikap muslim sebenar.

Apa yang menyedihkan, insan-insan yang mereka fitnah, maki hamun dan tohmah itu adalah ahli UMNO yang majoriti ahlinya beragama Islam, mengadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu.

Tetapi ketaksuban kepada parti memungkinkan penyokong-penyokong tegar Pas seolah-olah melupakan fakta ini, mereka menganggap pemimpin dan ahli UMNO adalah ‘musuh kamu yang paling nyata’.

Penulis menghormati kesetiaan dan ketaksuban penyokong-penyokong Pas kepada parti mereka, apatah lagi dengan kesediaan mereka turun ke Sungai Limau tanpa dibayar satu sen pun.

Tetapi biarlah ia disulami dengan akhlak Islam yang sebenar. Janganlah kerana terlalu taksub dengan perjuangan politik kepartian, persaudaraan dalam Islam mahu dikorbankan.

Menyokong mana-mana juga parti bukanlah satu kesalahan kerana itulah amalan politik berteraskan demokrasi di negara kita tetapi berpada-padalah.

Janganlah melihat seolah-olah UMNO langsung tidak ada jasa kepada orang Melayu dan umat Islam sehingga penyokong Pas mahu menentang mereka habis-habisan.

Berusaha untuk mencari sokongan rakyat tidak salah kerana ia menjadi platform dalam usaha mana-mana juga parti untuk mendapat undi dan kuasa tetapi biarlah dilakukan secara berhemah melalui pendekatan politik damai yang dipelopori oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Jika politik damai ini diamalkan sepenuhnya, antara penyokong Pas dan UMNO tidak akan ada permusuhan, mereka hanya ‘bermusuh’ apabila hendak meraih undi tetapi mereka tidak akan terpengaruh dengan sebarang politik kebencian.

Sebagai sebuah parti yang mendabik dada memperjuangkan Islam, penyokong-penyokong Pas sepatutnya lebih berhemah dalam berpolitik. Sementara kita menghormati kesetiaan dan keterujaan mereka memberi sokongan padu kepada parti itu namun soal imej Islam juga harus dipelihara.

Memaki hamun, mengejek dan membuat fitnah serta tohmahan bukanlah perkara yang dibenarkan oleh Islam. Sebaliknya ia hanya menampakkan bagaimana penyokong Pas sedia berbuat apa sahaja demi meraih kuasa.

Ketika mereka begitu taksub menyatakan mereka memperjuangkan Islam tetapi dalam masa yang sama mereka bersekongkol dengan DAP yang terang-terang sudah menyatakan tidak akan menerima perjuangan Islam Pas.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada pemimpin DAP yang berpendapat Pas perlu diharamkan kerana tidak boleh ada parti politik berasaskan kaum dan agama.

Tetapi Pas tidak akan berkata apa-apa jauh sekali untuk meninggalkan kerjasamanya dengan pakatan pembangkang yang turut diangggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penyokong Pas hanya melihat pemimpin BN dan UMNO tidak bersih tetapi pernahkah mereka mengkaji latar belakang pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR atau mereka sengaja ‘membutakan mata’ disebabkan PKR adalah sekutu Pas?

Sebenarnya Pas mempunyai kekuatan tersendiri tetapi mereka tidak memiliki keyakinan diri sebab itulah biar apa pun yang dilakukan oleh PKR dan DAP, sebahagian besar pemimpin utama Pas tidak membantah, malah dalam kalangan penyokong mereka pula begitu bangga mengibarkan bendera DAP atau memakai kemeja T yang mempunyai lambang parti itu.

Bagaimanapun, kita harus mengakui bahawa sama ada pemimpin dan penyokong Pas setia atau taksub, itulah yang menjadi asas kekuatan parti itu selama ini.

Sebenarnya, berbanding Pas, BN dan UMNO jauh lebih konsisten dalam perjuangannya, UMNO tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan demi untuk meraih undi.

Pas sebenarnya tidak kuat tetapi gerak kerja yang teratur dibantu pula penyokong yang setia dan taksub memungkinkan mereka mencapai kejayaan dalam setiap kali pilihan raya.

Tetapi mereka tidak akan mampu memperjuangkan nasib orang Melayu meningkatkan martabat Islam dan membela nasib rakyat.

Justeru tanggungjawab ini perlu terus dipikul oleh UMNO dan BN dengan memastikan parti itu mendapat sokongan padu rakyat dalam pilihan raya.

Ini boleh dilakukan memastikan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian tidak terus bersikap hipokrit sehingga sanggup melakukan tindakan yang boleh menyebabkan parti kalah.

Selain itu, semangat perjuangan juga perlu ditingkatkan dalam kalangan penyokong-penyokong UMNO supaya mereka tidak menyokong atau membuat kerja untuk parti itu hanya kerana mahukan imbuhan.

Sebaliknya, mereka membuat kerja itu demi memastikan BN mencapai kemenangan dan UMNO terus kukuh sebagai parti keramat orang Melayu demi perjuangan bangsa, agama dan negara.--UM

3 comments:

  1. Taksub bila membela kumpulan sendiri dlm perkara kezaliman.
    Zalim bila perintah Allah swt tidak dipatuhi atau laranganNya dilanggar. Rujuk 2:229, 65:1.
    Sebesar besar kezaliman pula, bila Allah swt disyirikkan. Rujuk 31:13.
    Fikirlah sendiri, jgn jadi biri biri @ an'am. Rujuk 7:179.

    ReplyDelete
  2. Ingtlah mereka pasti terima balasan Allah SWT atas penggadaian nama Islam, tp mereka tidak pelihara adab2 Islam. Jika gedik sgt mengakui terlalu hebat Islam PAS, maka buktikan! tunjuk lah ciri2 pejuang Islam.. Tp malang sekali mereka cemar Islam dgn sikap jahiliyyah mereka sendiri. Itulah perjuangan PALSU yang MEMBOHONGI Allah SWT dan Rasul.. di palitkan Agama dgn kerja jahat mereka, pilihanraya dijadikan medan munafik plg hebat bg PAS, tipu daya, fitnah, caci maki dan segala benih kebencian dilancarkan seperti peluru!!

    Bg mereka tanda aras Islam atau kafir ialah tudung Rosmah, Rasuah UMNO.. selain dr itu bg mereka ialah Isle belaka..

    Celakalah PAS Laknatullah!
    menang PRK Sungai Limau sbg ISTIDRAJJ buat mereka yg menghina Agama-Mu ya Allah..Aminnn Ya Robb!

    ReplyDelete
  3. aku pun ada di sg limau. umno lagi teruk. tp pada aku itu semua biasa. gula rm1. haha bodoh umno

    ReplyDelete