Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N20 Sungai Limau secara rasminya akan bermula sebaik sahaja selesai proses penamaan calon hari ini. Sebagai penyandang, PAS mempunyai kelebihan berbanding BN kerana DUN Sungai Limau yang dulu dikenali sebagai Sala sering dianggap sebagai kubu kuatnya.
Pun demikian, jika rekod PRU-PRU terdahulu dijadikan sandaran, secara umumnya Sungai Limau bukanlah kubu kuat PAS dalam erti kata sebenar. Kenapa penulis katakan begitu?
Sungai Limau walau pun kelihatan seperti kubu PAS namun ia tidak seperti PAS Pengkalan Chepa yang kubunya sukar ditembusi, sebaliknya penguasaan PAS di Sungai Limau turun naik dan kekuatannya pernah diruntuhkan oleh BN beberapa kali sebelum ini.
