PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mendedahkan satu lagi kelebihan yang ada kepada Pas dan tidak mungkin ada kepada parti-parti politik lain termasuk UMNO.
Kelebihan tersebut ialah kesetiaan dan ketaksuban penyokong-penyokong Pas terhadap parti itu sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja atas nama perjuangan Islam yang diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka.
Sepanjang hampir dua minggu berada di Sungai Limau, penulis berkesempatan melihat dengan lebih dekat gelagat penyokong-penyokong Pas. Mereka bukan sahaja terdiri daripada penyokong tempatan tetapi ada antara yang sanggup datang dari seluruh pelosok tanah air semata-mata untuk memberikan sokongan kepada calon parti itu. Mereka sanggup bermalam di dalam kereta, masjid dan surau semata-mata untuk berkempen.
Sememangnya, mahu tidak mahu kita harus tabik kepada kesetiaan dan ketaksuban mereka ini. Sudah pastilah ia adalah hasil didikan politik yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu sehingga penyokong mereka menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jihad demi menegakkan perjuangan Islam.

