Berikut adalah wawancara Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Berita Harian mengenai pemilihan UMNO dan perancangan beliau untuk Pemuda UMNO bagi penggal akan datang.
Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan 12 Oktober ini juga menarik perhatian ramai kerana penyertaan begitu ramai calon. Selain Khairy Jamaluddin, yang akan mempertahankan jawatan, ada empat lagi mendaftar sebagai calon, Sabtu minggu lalu. Mereka terdiri daripada Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Bagi Khairy, soal sesiapa juga yang bertanding tidak mendatangkan masalah kepadanya, lagipun beliau antara pemimpin yang menyokong pindaan Perlembagaan UMNO yang membolehkan ahli bertanding atas semangat keterbukaan dalam parti.
Dalam temubual baru-baru ini, Khairy membuat perbandingan mengenai zaman beliau bertanding ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO dan secara bersendirian sekarang. Ikuti temubual wartawan BH, Razak Rashid Ghows dengan beliau.
Wartawan: Kenapa saudara menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan tidak bertanding jawatan lebih tinggi?
Khairy: Saya melihat kerja saya dalam Pemuda UMNO masih lagi belum selesai. Saya sudah meletakkan fasa pertama ketika menjadi Ketua Pemuda di mana kita beri tumpuan kepada langkah menstrukturkan semula Pemuda UMNO. Tujuannya bagi menjadikan Pemuda badan yang fokus kepada masalah orang muda dan penyelesaian seperti isu pekerjaan, pendidikan, perumahan, iaitu lebih berorientasikan isu berbanding dulu. Sebelum ini ia lebih retorik politik, sekarang lebih kepada penyelesaian. Fasa kedua bagi memastikan perubahan ini dapat diinstitusikan melalui program pendidikan politik baru di mana kita mahu lahir ramai lagi pelapis yang mempunyai pandangan moden dalam politik di mana perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tetap menjadi teras kita. Ahli politik dan pemimpin politik muda yang memahami cabaran yang dibawa politik baru, soal isu tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, hubungan kaum dan sebagainya supaya kita dapat kembalikan sokongan orang muda kepada Barisan Nasional (BN) dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.