Pemilihan UMNO pada bulan depan agak menarik. UMNO mempunyai sejumlah 21,078 cawangan yang mewakili 193 bahagian di seluruh negara. Pada tahun ini, UMNO akan menyaksikan satu bentuk pertandingan yang terbesar pernah berlaku dalam sejarahnya.
Kesibukan kini adalah untuk menilai siapakah pemimpin yang boleh disandarkan harapan besar ahli-ahli UMNO bagi membolehkan parti itu terus relevan dan perkasa setelah beberapa perubahan yang dilaksanakan dianggap gagal menterjemahkan semangat perjuangan sebenar, kerana falsafah ketuanan Melayu semakin tercabar dengan amalan yang dilihat semakin mengalah dengan tuntutan dan desakan kaum lain.
Selepas PRU-13, masyarakat mula memberikan perhatian besar untuk kembali memperkasakan orang Melayu dan Bumiputera, kerana kumpulan ini merupakan tunjang kepada kekentalan semangat cintakan tanah air dan berpaksikan sentuhan primodial berbanding kaum-kaum lain yang lebih mengutamakan keselesaan ekonomi sehingga sanggup melakarkan tindakan nakal mencabar status quo yang sekian lama diterima sebagai faktor pemersatu yang berkesan.
Senario ini menyebabkan para perwakilan yang bakal memilih pucuk pimpinan parti memikirkan semula apa sebenarnya yang mereka perlukan dalam usaha meletakkan ketuanan Melayu sebagai paksi kekuatan politik Malaysia pada masa depan.
Analisis faktor ini dijangka akan mencorakkan pola pemilihan pada tahun ini, walaupun segelintir pemimpin yang mempertahankan jawatan dilihat cuba menggunakan pengalaman sebagai asas penilaian dalam pemilihan mereka nanti.
Para perwakilan pada kali ini dijangka mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pemilihan mereka kerana sebahagiannya adalah golongan muda yang terdedah dengan pelbagai maklumat mengenai seseorang yang bakal menawarkan diri atau mempertahankan jawatan. Tentunya, ramai juga antara mereka memberikan petunjuk bahawa sebahagian mereka yang bakal mempertahankan diri sudah tidak lagi mempunyai kewibawaan untuk memimpin parti kerana kecemerlangannya sudah terjejas dan ada ketikanya sukar menerima pandangan atau pendapat orang lain.
Kelompok pemimpin veteran yang sudah menguasai bahagian atau peringkat pusat dalam tempoh yang lama seharusnya membuka ruang yang lebih luas kepada pemimpin pelapis untuk membina pengalaman memimpin dalam skala yang lebih berkesan.
Tanpa diberikan peluang sedemikian, UMNO tidak akan mengalami proses peremajaannya semula, dan mungkin tepat sindiran bekas Perdana Menteri sebagai sudah tua serta menunggu saat kematiannya.
Konsep demokrasi, meskipun bukan berasal daripada prinsip Islam, ia tetap diterima sebagai satu kaedah terbaik dalam memilih pemimpin jika ia mengambil kira prinsip musyawarah. Jika pilihan majoriti itu merupakan kesepakatan yang membawa kepada ketelusan, keputusan tersebut hendaklah diterima sebagai kehendak majoriti.
Perlu diberikan perhatian yang serius, kegemilangan Islam bermula daripada kesanggupan Rasulullah SAW menggunakan potensi yang ada dalam diri generasi muda. Rasulullah SAW memberikan kepercayaan kepada golongan muda untuk mengetuai beberapa kali bala tentera Islam untuk berhadapan dengan musuh, dan mereka membuktikan ketangkasan bertindak itu telah memberikan kemenangan besar kepada Islam.
Maka, UMNO tidak seharusnya mengehadkan generasi muda hanya layak memimpin Pemuda dan Puteri, sebaliknya para perwakilan perlu memberikan sokongan kepada calon yang lebih muda, kerana mereka dilihat bakal mempelopori pendekatan baharu yang selari dengan keinginan UMNO sendiri dalam proses peremajaannya.
Proses pemilihan pemimpin berdasarkan prinsip musyawarah merupakan satu tindakan yang amat diharapkan dalam Islam. Bagi menentukan prinsip ini dipatuhi, setiap orang yang mencalonkan diri hendaklah diberikan peluang yang sama untuk menyatakan prinsip perjuangannya dalam konteks amalan demokrasi.
Al-Quran meletakkan prinsip pemilihan berdasarkan musyawarah sebagai faktor yang wajib dipatuhi walaupun setiap orang Islam diberikan kebebasan untuk memilih. Nabi Muhammad SAW menegaskan: Kamu lebih mengetahui persoalan dunia kamu." Tetapi ini tidak bermakna kebebasan adalah sesuatu yang tidak bersandarkan prinsip kesejahteraan dalam bermusyawarah. Contoh yang lain ialah semasa pemilihan pengganti Khalifah yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar sebelum mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Umar al-Khattab sebagai pengganti beliau.
Penetapan menerusi persetujuan majoriti itu penting bagi mengelakkan perpecahan. Menerusi persetujuan majoriti, setiap ahli mestilah pula menghormati dan menerima keputusan bersama, kerana ia merupakan prinsip yang menjamin kepada penyatuan dan kesepaduan jemaah. Ini bermakna, mereka yang tidak terpilih wajar menerima keputusan bersama dan bukan melakukan tindakan di sebaliknya seperti cuba membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.
Terdapat satu pesanan menarik dalam kesusasteraan sufi yang bermaksud: Tidak akan kecewa orang yang memohon petunjuk (kepada Allah) tentang pilihan yang terbaik dan tidak juga akan menyesal seseorang yang melakukan musyawarah."
Ia membawa makna bahawa musyawarah merupakan fungsi dalam menghimpun pendapat yang lebih baik dan benar dari pelbagai lapisan masyarakat dan kemudiannya dijadikan keputusan bersama untuk keluar daripada kekusutan sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran:... segala urusan mereka di musyawarah bersama mereka
" (al-Syura:38)
Seseorang pemimpin yang baik dan berkesan bukanlah terdiri daripada mereka yang mengambil tindakan berdasarkan kesukaannya, sebaliknya mestilah lahir daripada keinginan masyarakat itu sendiri. Seelok-eloknya, mereka yang menawarkan diri bertanding pada kali ini mestilah benar-benar mewakili kehendak bahagian atau negeri yang diwakili, dan bukannya berdasarkan populariti dan kedudukannya di luar parti.
Dalam surah al-Baqarah ayat 124, Allah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim bermohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim.
Bagaimanapun, Allah SWT telah menggariskan satu syarat iaitu, Perjanjian-Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang yang berbuat aniaya. Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh orang tua, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu hakikatnya adalah keadilan. Untuk memahami maksud ayat tersebut, kita perlu memahami dua asas penting.
Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah.
Kedua, dalam pengertian ayat tersebut, kepimpinan itu mestilah didahulukan dengan prinsip keadilan kerana tujuan sebenar kehidupan ialah mempraktikkan kesejahteraan masyarakat. Maknanya, kesejahteraan bermasyarakat hanya akan terbentuk menerusi penegakkan prinsip keadilan bagi setiap orang, berdasarkan pertimbangan keputusan yang telus dan tidak dipengaruhi oleh prasangka.
Berdasarkan prinsip itulah mereka yang menawarkan diri wajib meletakkan falsafah perjuangan politik mereka adalah untuk memperkasakan orang ramai dan memperkuatkan parti, dan bukan menagih keistimewaan apabila memenangi jawatan tersebut.
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment